Sunday 19 February 2012

Keutamaan Sifat Sabar

Bismillahirrahmanirrahim....
Dalam kita menongkah arus dunia, sifat sabar dan syukur perlu ada untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba Allah. Dalam Bimbingan Mukmin ringkasan Ihya' ulumuddin karangan Imam al-Ghazali yang diringkaskan oleh Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, Imam Ghazali telah menukilkan sifat sabar seperti berikut:

  Allah SWT telah melukiskan orang-orang yang sabar itu dengan pelbagai sifat. Al-Quran juga telah menyebut keutamaan sifat sabar ini dalam lebih dari tujuh puluh tempat. Sebahagian terbesar dari darjat-darjat kemuliaan dan kebajikan telah dihubungkan kepada sifat sabar dan dijadikan sebagai balasan bagi sifat ini dan orang-orang yang bersifat dengannya.

  Berikut beberapa firman Allah Ta'ala menunjukkan keutamaan sifat sabar:
 "Dan kami telah menjadikan mereka sebagai pemimpin-pemimpin yang memberikan petunjuk dengan perintah kami, iaitu ketika mereka bersifat sabar." ( as-Sajjadah: 24)
"Dan kami akan memberikan balasan kepada orang yang sabar itu pahala mereka menurut apa yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya." (an-Nahl: 96)
"Mereka itulah yang akan diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka telah bersabar." (al-Qashas:54)
"Hanyasanya orang-orang yang sabar itu akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan." (az-Zumar:10)

  Lihatlah bahawa setiap amalan yang baik itu sentiasa ditentukan balasannya menurut kadar dan hitungan yang tertentu, kecuali sabar. Maka Allat SWT telah memberikan janji kepada orang-orang yang sabar itu bahawa Allah SWT sentiasa bersama mereka.

  Allah telah berfirman:
"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar itu beberapa perkara yang tidak dicatitkan bagi orang lain, sebagaimana firman-Nya:

  "Mereka itulah orang-orang yang mendapat selawat(keampunan) dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (al-Baqarah:157)

  Sabda Rasulullah SAW pula:
"Sabar itu separuh daripada iman"

  Ketika baginda Rasulullah SAW ditanya orang tentang iman: Jawabnya itu adalah sabar dan berlapang dada. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment