Tuesday 28 February 2012

Syarat-syarat Kemenangan

 Bismillahirrahmanirrahim
   Sebagai umat Islam, dalam medan perjuangan apa-apa sekalipun akan dijanjikan kemenangan oleh Allah jika menepati segala syarat-syarat nya. Sebagai Muslim yang beriman kita seharusnya sentiasa berpegang teguh kepada al-Quran dan As-sunnah sebagai rujukan untuk menggapai kejayaan. Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang perubata, tidak dinafikan segala pembelajaran tidak dikaitkan langsung dengan Al-Quran padahal segala ilmu-ilmu tersebut berasal daripada cendiakawan Islam zaman Abbasiah seperti  Ibnu sina, al-Razi, Ibn Nafis dan lain-lain.
   Jadi sebagai umat Islam kita bertanggungjawab untuk mengaitkan semua yang kita pelajari dengan al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah. Kedua-dua sumber ini membawa kejayaan dalam kita menghadapi dunia yang diibaratkan tempat persinggahan sebelum bertemu dengan pencipta asal, Allah Rabbul Jalil.
   Dalam buku Pemuda Islam Yang Dijanjikan karangan Prof Dr Yusuf Al-Qardawi, beliau ada menyelitkan pesanan buat para pemuda Islam dalam perjuangan untuk kemenangan atau mati syahid. Dalam bukunya , beliau memberitahu pemuda Islam akan tiga syarat seperti yang dijanjikan Allah:
1)Syarat pertama
Kemenangan itu adalah daripada Allah SWT. Sesiapa yang mendapat pertolongan Allah, tidak mampu dikalahkan selama-lamanya sekalipun seluruh manusia di atas muka bumi berpakat menentangnya. Sesiapa pula yang disia-siakan oleh Allah tidak akan mampu ditolong selama-lamanya, sekalipun ia memiliki bilangan yang ramai dan kelengkapan yang cukup.
  Inilah apa yang telah disebutkan oleh ayat al-Quran secara jelas tanpa ada kesamaran, satu kepastian tanpa ada keraguan;
“ Jika Allah menolong kamu, maka tiada sesiapa yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi  pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudan itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal. ( Ali-Imran: 160)
“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan  permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu  (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.”
“Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenag tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” ( Al-Anfal:9-11)
   Kadang-kadang Allah SWT memberi pertolongan kepada golongan yang sedikit untuk mengalahkan golongan yang banyak seperti bantuan yang diberikan kepada tentera Thalut yang sedikit bagi mengalahkan tentera Jalut yang ramai walaupun diantara tentera Thalut ada yang berkata:
“ Kami pada hari ini tidak berdaya menentang Jalut dan tenteranya’ Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: ‘Berapa banyak (yang pernah terjadi) golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah: 249)
  Bahkan Allah SWT juga membantu orang yang tidak mempunyai tentera langsung mahupun senjata, sepertimana Dia membantu RasulNya Muhammad SAW ketika di gua Thur:
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (At-Taubah:40)
2)Syarat Kedua
   Allah SWT hanya akan membantu orang yang membantu nya, maka sesiapa menolong Allah SWT , Allah akan menolongnya. Ini adalah qanun yang datang dalam bentuk syarat beserta Jaza’(ganjaran):
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad:7)
  Dan datang dalam bentuk Khabar Thabit yang dikuatkan lagi dengan sumpah dan Nun Taukid:
“Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Haj:40)
   Sesungguhnya pertolongan dari Allah SWT itu akan datang dengan sebab membantu agamaNya, meninggikan kalimahNya, berhukum dengan syariatNya. Oleh sebab itu ayat seterusnya datang dengan sifat-sifat orang yang memperjuangkan agama Allah SWT, firmanNya:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat, dam mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”(Al-Haj:41)
  Adakalanya al-Quran menggambarkan tentang pertolongan Allah SWT dengan iman atau dengan bantuan ketenteraan dari Allah SWT maka sesiapa yang beriman dengan sebenar-benar iman pasti Allah SWT  akan membantunya, maka jadilah dia salah seorang daripada tentera-tenteraNya. Ini adalah seperti firmanNya:
“Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang beriman.” (Ar-Rum:47)
Dan firmanNya lagi:
“Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)” (As-Soffat:173)
3)Syarat ketiga
   Kemenangan atau pertolongan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada golongan mukmin, juga tidak akan berlaku melainkan dengan golongan mukmin sendiri. Maka kemenangan dari mereka, adalah untuk mereka maka merekalah matlamat kemenangan dan persediannya. Ini Allah SWT jelaskan kepada baginda SAW dalam firmanNya
“ Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.”
“Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu).” (al-Anfal:62-63)
  Allah SWT juga membantu orang yang dikehendakiNya melalui malaikat yang diturunkan dari langit ke bumi, sepertimana yang berlaku ketika peperangan Badar, Khandaq dan Hunain:
“Ingatlah ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: ‘Sesungguhnya Aku bersama kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah(hati) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:12)
“Lalu kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya.” (Al-Ahzab:9)
“Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengn kekalahan yang membawa kehancuran).” (At-Taubah:26)
    Dan adakalanya Allah SWT menolong orang yang dikehendakiNya melalui kejadian alam semulajadi dengan cara menjadikannya berkhidmat kepada orang yang beriman, atau mengalahkan  musuh dengannya, seperi mana Allah SWT mengalahkan kaum musyrikin dalam peperangan Khandaq dengan perantaraan angin:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kenanglah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab) lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.” (Al-Ahzab:9)
   Sepertimana juga Allah SWT menurunkan hujan rahmat buat muslimin dalam peperangan Badar:
“Dan ingatlah ketika ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).” (Al-Anfal:11)
   Dan Allah SWT juga menolong orang beriman melalui tangan-tangan pihak musuh sendiri iaitu dengan melemparkan ke dalam hati mereka ketakutan yang menghancurkan semangat mereka dan membunuh pendirian mereka, seperti yang diterangkan tentang Yahudi Bani Nadhir:
  “Dialah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali. Kamu tidak pernah menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahananya yang kuat). Dan mereka  pula menyangka bahawa benteng-benteng  mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiranmereka. Lantas Allah melemparkan perasaan cemas takut ke dalam hati mereka. (Lalu) mereka membinasakan  rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) dan juga dengan tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka  berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” (Al-Hasyr:2)
  Akan tetapi alat-alat kelengkapan ini semuanya bergantung kepada wujudnya Mukmin.
  Bahkan pada kejadian Badar bukanlah malaikat diturunkan dalam keadaan kosong tetapi Allah SWT berfirman kepada mereka:
“Sesungguhnya  Aku bersama kamu (memberi pertolongan) maka  tetapkanlah(hati) orang-orang yang beriman.” (al-Anfal:12)
  Dan semasa peperangan Ahzab, Allah SWT telah mengutuskan angin dan tenteranya ketika mana…
“ Diuji orang-orang beriman, dan mereka digoncangkan (perasaan dan pendiriannya) dengan goncangan yang amat dahsyat.” (Al-Ahzab:11)
Dan semasa peperangan Hunain:
“Allah Taala menurunkan sakinah(ketenanganNya) kepada RasulNya dan kepada para mukminin.” (At-Taubah:29)
  Dan di dalam peperangan bani Nadhir mereka…
“Meruntuhkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri, dan juga dengan tangan orang-orang mukminin. (Al-Hasyr:3)  Wallahua’lam…

No comments:

Post a Comment